TABIAT BURUK YANG PERLU DIELAKKAN SUAMI TERHADAP ISTERI



Isteri adalah sahabat sehidup semati anda. Sebagai seorang suami yang bertanggungjawab, anda seharusnya mengelakkan 10 tabiat buruk yang disenaraikan di bawah ini dan memilih untuk menjadi suami yang terbaik, suami yang sanggup mendahulukan kepentingan isteri dan keluarga dari perkara-perkara lain.
 
1. SUKA MENGKRITIK ISTERI

Cermin diri anda sendiri dan jangan suka mengkritik isteri anda. Pilihlah untuk sentiasa menghargai isteri anda. Berikan pujian-pujian atas apa yang telah dilakukan isteri kepada anda, anak-anak dan keluarga. Kadang-kadang, jika anda perlu membetulkan kesilapan isteri anda, lakukannya secara membina dan positif.

2. SUKA MENGAWAL

Percaya atau tidak, suami tidak selalunya betul. Kadangkala isteri juga sebenarnya bagus dalam membuat keputusan sendiri. Jadi hentikan sikap ingin mengawal isteri dalam apa yang dilakukannya seharian. Lebih baik jika sama-sama dapat bekerja/hidup sebagai sebuah pasukan, sentiasa menggalakkan dan membantu sesama sendiri.

3. ANGGAP ISTERI SEBAGAI OBJEK

Tolonglah suami! Isteri anda bukannya satu objek untuk digunakan. Bukanlah objek yang hanya anda hargai bila perlu dan diabaikan apabila anda sudah dapat apa yang dikehendaki sahaja. Dia adalah isteri, kawan baik dan permaisuri anda, sepatutnya anda perlulah sentiasa menghormati dan menghargai isteri anda sebaiknya.

4. TIDAK MELUANGKAN MASA BERSAMA

Bersyukurlah, anda sangat bertuah kerana mempunyai seorang isteri. Janganlah terlampau sibuk dengan hal lain sehingga anda lupa untuk menghubunginya. Hantarlah pesanan ringkas yang menyatakan anda amat merinduinya. Beritahu dia bahawa dia adalah yang terpenting selain kerja anda, masa melepak dengan kawan-kawan anda, ataupun menonton sukan kegemaran anda.

5. MENGGUNAKAN BAHASA KASAR

Jaga bahasa anda ketika berkomunikasi dengan isteri anda. Jangan sesekali menggunakan bahasa kasar dan lucah kepada isteri anda. Perbuatan suka menggelarkan isteri juga perlu dielakkan. Gunakanlah bahasa yang sesuai serta sopan ketika berkomunikasi dan tunjukkanlah kematangan diri anda.

6. SUKA MENONTON PORNOGRAFI

Sedar atau tidak, tabiat ini akan mengganggu kebahagian rumah tangga anda. Jika anda tidak membuang tabiat ini, anda tidak akan pernah merasa puas dengan apa yang ada sekarang.

7. HARAPAN TERLALU TINGGI KEPADA ISTERI

Janganlah membandingkan isteri dengan contoh yang terlalu tinggi. Sikap suka membandingkan fizikal dan kebolehan isteri dengan seseorang yang lain akan menyebabkan isteri menjadi agak gopoh dan kurang keyakinan diri.

8. TIDAK MEMBANTU MELAKUKAN KERJA RUMAH

Anda mungkin penyumbang utama pendapatan untuk keluarga, tetapi itu bukanlah bermakna anda hanya perlu duduk bersenang lenang sahaja di atas sofa dan membiarkan isteri melakukan semua kerja rumah seorang diri. Bebaskan diri anda dari sikap sebegitu dan tawarkan diri anda untuk membantu.

9. SELALU HILANG SABAR

Sedarlah anda sudah dewasa. Selalu hilang sabar seterusnya memarahi isteri adalah tidak membantu membina sebuah keluarga bahagia. Memukul atau mendera isteri juga adalah perbuatan yang melampaui batas. Belajarlah mengawal emosi anda, respon segala permasalahan dengan tenang dan penuh kasih sayang. Isteri akan sentiasa berasa selamat di samping anda.

10. SUKA MENIPU

Jangan suka menipu dan mengambil kesempatan di atas kepercayaan isteri anda dengan berskandal ataupun mempunyai perempuan lain. Biarpun isteri anda tidak tahu, ini adalah salah. Ingatlah bahawa sepandai-pandai anda menyembunyikan bangkai yang busuk, akhirnya tercium juga.

OK, wahai suami, sekarang jika anda melihat diri anda mempunyai salah satu atau semua tabiat buruk ini, berazamlah untuk mengubah diri anda menjadi seorang suami yang lebih penyayang, bertanggungjawab, sentiasa mendengar dan setia kepada isteri serta keluarga anda. Inilah kebahagian yang diimpikan oleh seorang isteri lebih daripada harta benda dan wang ringgit.

1 Response to "TABIAT BURUK YANG PERLU DIELAKKAN SUAMI TERHADAP ISTERI"